ANGIN BARAT
Biarpun angin tengkujuh telah berlalu
membawa petaka bersamanya
dingin dan mati
sedar atau sesal manusia
apakah ada hikmah di sebaliknya
ujian getir bukan permainan
yang harus dialpakan.
Tiba-tiba angin panas yang garang
bukan pemalu menyatakan hasratnya
manusia sedar, bukan sesal tetapi jahil
anak-anak terbiar melarat
tanpa siapa-siapa
muda mudi dengan gelojohnya
melangkah ke mana saja
menurut kehendak dan desakan
tanpa mengenal suatu masa
mereka menemui pencipta-Nya
penuh kekotoran dan noda.
Angin barat menyerang
ke mana umat ini akan pergi
di kiri kanan tersesat
sesaat undur ada senjata menanti
melangkah ada musuh bersedia
meratah daging-daging enak
untuk sesuap makanan
masih ada lagikah sesalan
kalau sedar itu dilupakan.
Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu
Akhbar: Mingguan Misteri
Ruangan: Di Sudut Hati
Tarikh siaran: 1.9.2006 (Jumaat)
Bilangan: 150
Muka surat: 22
Tiada ulasan:
Catat Ulasan