JENDELA PUISI: Majalah Sastera Dalam Talian . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipuisi.blogspot.com

Isnin, 19 Disember 2016

Suatu Masa

SUATU MASA


Jangan kau berkata pada dunia
kau gembira hidup di dalamnya
kau boleh lakukan apa saja
kau hirup udara segar semahunya
kau langkah kaki menurut gerak hati
kau lihat segalanya dengan banyak pandangan
kau dengar semua bunyi menurut kehendak.
Kau makan besar
menurut kata mulut.
Kau membeli rumah besar, kereta besar
kerana ada harta
kau boleh membeli apa keinginan
yang terpampang di ruang mata
tetapi jangan lupa
kau tidak dapat hitung nikmat itu
dari Pencipta-Nya
tentunya tidak dapat dibayar
dengan ringgit berlonggok
satu dunia.


Dunia tempat menguji
untuk bekal ke negara akhirat
bukan sebuah permaidani hiburan
dan lagak
tidak berguna harta walau seluas lautan
kalau tidak bersedia untuk
kembali ke kampung asalmu.


Suatu masa
kau akan ke situ
ke tanah yang dijadikan tubuhmu
kau lihatlah di dalamnya
kau pasti ke syurga atau neraka.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu
21.9.2016