JENDELA PUISI: Majalah Sastera Dalam Talian . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipuisi.blogspot.com

Jumaat, 3 Februari 2017

Tenang

TENANG



Tenang
melihat sawah padi terbentang
luas
hijau dan kuning padi
menyegarkan.


Tenang
melihat pohon-pohon melambai
menurut rentak tari
hembusan bayu lembut
nyamannya.


Tenang
melihat laut bebas
debur ombak menghempas pantai
dan kapal-kapal belayar
di dadanya
damainya.


Tenang
melihat langit membiru
dengan tompokan awan putih
berarak menuju destinasi
sebagai ketentuan Illahi
lapangnya.


Tenang
melihat burung-burung berterbangan
merentas udara dengan riang
terbit pagi dan petang
kembali ke sarang.


Tenang
melihat alam ini
bunga-bunga berkembang mekar
dan harum baunya
semerbak.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu

Isnin, 19 Disember 2016

Suatu Masa

SUATU MASA


Jangan kau berkata pada dunia
kau gembira hidup di dalamnya
kau boleh lakukan apa saja
kau hirup udara segar semahunya
kau langkah kaki menurut gerak hati
kau lihat segalanya dengan banyak pandangan
kau dengar semua bunyi menurut kehendak.
Kau makan besar
menurut kata mulut.
Kau membeli rumah besar, kereta besar
kerana ada harta
kau boleh membeli apa keinginan
yang terpampang di ruang mata
tetapi jangan lupa
kau tidak dapat hitung nikmat itu
dari Pencipta-Nya
tentunya tidak dapat dibayar
dengan ringgit berlonggok
satu dunia.


Dunia tempat menguji
untuk bekal ke negara akhirat
bukan sebuah permaidani hiburan
dan lagak
tidak berguna harta walau seluas lautan
kalau tidak bersedia untuk
kembali ke kampung asalmu.


Suatu masa
kau akan ke situ
ke tanah yang dijadikan tubuhmu
kau lihatlah di dalamnya
kau pasti ke syurga atau neraka.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu
21.9.2016

Selasa, 29 November 2016

Sekadar Meniti Hari

SEKADAR MENITI HARI


Bukan sekadar meniti hari yang terbit
mentari dan angin
sedang menyapa salam terhulur
sedang berfikir di balik resah
ada gundah sedang menanti
untuk mengucap sebuah perpisahan
ketika bahagia sedang meluncur
ke sebuah pulau harapan
tiada lagi pertemuan di sana
sekadar sebuah noktah.


Kadang-kadang mentari kelam pun
bertukar wajah sewaktu meniti
hari-hari telah berlalu
kita pun alpa untuk melihat di sebalik
rumpunnya
kerana kita tertinggal langkah jitu
untuk kembali seperti dulu.


Mari kita saksikan mentari itu
ketika hari masih bersama
ketika bayu berpuput lembut
kalau-kalau ada lagi harapan menguntum
untuk dinikmati sekadar cuma.


Saat ini bukan bermimpi
adalah sebuah kenyataan
kita tidak lagi seperti dulu
kerana mentari pun memang pemalu
bayu pun berlalu meninggalkan kenangan
hanya sekadar meniti hari.


Akhbar:  Sinar Harian
Ruangan:  Karya Pembaca Sastera - Puisi
Tarikh siaran:  22.10.2016 (Sabtu)
Bilangan:  3691
Muka surat:  S3

Isnin, 28 November 2016

Azazil Itu Iblis

AZAZIL ITU IBLIS


Sidang malaikat gempar
kerana tertulis, ada di kalangan mereka
bakal dicampakkan atas kemurkaan Rabbul Jalil
mereka meminta ketuanya, Azazil
memohon doa agar Allah mengampunkan
jika ada sekelumit dosa.


Selamatlah semua malaikat
atas doa Azazil,
takburnya Azazil kerana tiada permintaan untuknya
anggap dirinya ketua malaikat paling mulia
tidak perlu apa-apa untuk dirinya sendiri,
Azazil menjadi penderhaka?


Itulah Azazil
atau nama lainnya disebut Khaazin atau Al-Harith
nama iblis penjaga syurga dan ketua langit dunia
kuasanya meluas sebagai ketua bangsa jin
di bumi.


Azazil, kaulah iblis itu
ketua antara jin dan syaitan
kau mempunyai anak-anak
Thabr, Al-Awar, Maswath, Dasim dan Zalnabur.
Kau dan keturunan makhluk itu 
punca segala sengketa antara manusia
hingga lupus segala amal
lalu dicampak ke dalam neraka
kerana menurut jejak langkah mereka.


Kau pula Jaan
adalah jin pertama dijadikan dari api
yang melahirkan keturunanmu
dari perhubungan jantina
maka lahirlah jin Islam dan jin kafir.


Syaitan
kaulah tentera iblis
membina istana di atas air
yang berperang dengan manusia
untuk mengheret manusia
yang lalai
menurut jejak langkahmu
ke lembah hina.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu


Akhbar:  Sinar Harian
Ruangan:  Karya Pembaca Sastera - Puisi
Tarikh siaran:  8.10.2016 (Sabtu)
Bilangan:  3677
Muka surat:  S3

Ahad, 27 November 2016

Merdeka!

MERDEKA!


Merdeka! Merdeka! Merdeka!
laungan bapa kemerdekaan negara
menggegar raya
betapa nusa tercinta
akhirnya bebas dari genggaman
petualang yang cuba menjajah
dan aku kini bebas ke mana jua.


Merdeka! Merdeka! Merdeka!
marilah hayatinya sebagai
sebuah negara merdeka
bersatulah dalam makna kehidupan
jika kita bermusuh
dan mengungkap kata-kata yang sia-sia
musuh dalam selimut
pasti sedang merencana,
dan musuh dari luar
pasti tidak akan berdiam diri
kerana menangguk dalam kesempatan
ada.


Merdeka! Merdeka! Merdeka!
jangan jual negara
yang kita bina berpuluh tahun lamanya
gembleng tenaga
untuk mempertahankannya,
kerana jika lalai,
pasti kita berputih mata
bangsa kita tidak lagi dapat kecapi
sebuah keamanan berharga.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu
22.8.2016


Akhbar:  Sinar Harian
Ruangan:  Karya Pembaca Sastera - Puisi
Tarikh siaran:  3.9.2016 (Sabtu)
Bilangan:  3642
Muka surat:  MH8

Sabtu, 26 November 2016

Diam

DIAM

Melihat diri diam
termanggu di danau hari
begitu resah
kerana aku tidak berbuat apa-apa
masa yang semakin berlalu
sekadar terbuang.
Melihat diri di balik cermin
yang telus
sekadar membilang
angin yang bertiup
di celah-celah daun
dan tapak-tapak kaki yang ditinggalkan
tidak lagi bersama sisanya.



Azmi Mohd. Salleh
Jalan Maju
8 April, 2012

Jumaat, 25 November 2016

Perempuan Itu

PEREMPUAN ITU
 
Perempuan itu
bibir merah dan manis
melontarkan
tutur penuh sinis
tajam bagai sembilu.
 
 
Matanya umpama ular
menyelinap setiap ruang
seketika mencari
titik lemah di dada lawan.
 
 
Hatinya bagaikan puas
musuhnya terkulai tewas.
 
 
Perempuan itu
adalah racun
muntahnya
adalah darah mendidih
nalurinya bagaikan anak-anak
tekanan jiwanya adalah pasti
untuk keluar dari rintihan.
 
 
Akhbar:  Mingguan Misteri
Ruangan:  Di Sudut Hati
Tarikh siaran:  15.3.2008
Muka surat:  23