JENDELA PUISI: Majalah Sastera Dalam Talian . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipuisi.blogspot.com

Isnin, 19 Disember 2016

Suatu Masa

SUATU MASA


Jangan kau berkata pada dunia
kau gembira hidup di dalamnya
kau boleh lakukan apa saja
kau hirup udara segar semahunya
kau langkah kaki menurut gerak hati
kau lihat segalanya dengan banyak pandangan
kau dengar semua bunyi menurut kehendak.
Kau makan besar
menurut kata mulut.
Kau membeli rumah besar, kereta besar
kerana ada harta
kau boleh membeli apa keinginan
yang terpampang di ruang mata
tetapi jangan lupa
kau tidak dapat hitung nikmat itu
dari Pencipta-Nya
tentunya tidak dapat dibayar
dengan ringgit berlonggok
satu dunia.


Dunia tempat menguji
untuk bekal ke negara akhirat
bukan sebuah permaidani hiburan
dan lagak
tidak berguna harta walau seluas lautan
kalau tidak bersedia untuk
kembali ke kampung asalmu.


Suatu masa
kau akan ke situ
ke tanah yang dijadikan tubuhmu
kau lihatlah di dalamnya
kau pasti ke syurga atau neraka.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu
21.9.2016

Selasa, 29 November 2016

Sekadar Meniti Hari

SEKADAR MENITI HARI


Bukan sekadar meniti hari yang terbit
mentari dan angin
sedang menyapa salam terhulur
sedang berfikir di balik resah
ada gundah sedang menanti
untuk mengucap sebuah perpisahan
ketika bahagia sedang meluncur
ke sebuah pulau harapan
tiada lagi pertemuan di sana
sekadar sebuah noktah.


Kadang-kadang mentari kelam pun
bertukar wajah sewaktu meniti
hari-hari telah berlalu
kita pun alpa untuk melihat di sebalik
rumpunnya
kerana kita tertinggal langkah jitu
untuk kembali seperti dulu.


Mari kita saksikan mentari itu
ketika hari masih bersama
ketika bayu berpuput lembut
kalau-kalau ada lagi harapan menguntum
untuk dinikmati sekadar cuma.


Saat ini bukan bermimpi
adalah sebuah kenyataan
kita tidak lagi seperti dulu
kerana mentari pun memang pemalu
bayu pun berlalu meninggalkan kenangan
hanya sekadar meniti hari.


Akhbar:  Sinar Harian
Ruangan:  Karya Pembaca Sastera - Puisi
Tarikh siaran:  22.10.2016 (Sabtu)
Bilangan:  3691
Muka surat:  S3

Isnin, 28 November 2016

Azazil Itu Iblis

AZAZIL ITU IBLIS


Sidang malaikat gempar
kerana tertulis, ada di kalangan mereka
bakal dicampakkan atas kemurkaan Rabbul Jalil
mereka meminta ketuanya, Azazil
memohon doa agar Allah mengampunkan
jika ada sekelumit dosa.


Selamatlah semua malaikat
atas doa Azazil,
takburnya Azazil kerana tiada permintaan untuknya
anggap dirinya ketua malaikat paling mulia
tidak perlu apa-apa untuk dirinya sendiri,
Azazil menjadi penderhaka?


Itulah Azazil
atau nama lainnya disebut Khaazin atau Al-Harith
nama iblis penjaga syurga dan ketua langit dunia
kuasanya meluas sebagai ketua bangsa jin
di bumi.


Azazil, kaulah iblis itu
ketua antara jin dan syaitan
kau mempunyai anak-anak
Thabr, Al-Awar, Maswath, Dasim dan Zalnabur.
Kau dan keturunan makhluk itu 
punca segala sengketa antara manusia
hingga lupus segala amal
lalu dicampak ke dalam neraka
kerana menurut jejak langkah mereka.


Kau pula Jaan
adalah jin pertama dijadikan dari api
yang melahirkan keturunanmu
dari perhubungan jantina
maka lahirlah jin Islam dan jin kafir.


Syaitan
kaulah tentera iblis
membina istana di atas air
yang berperang dengan manusia
untuk mengheret manusia
yang lalai
menurut jejak langkahmu
ke lembah hina.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu


Akhbar:  Sinar Harian
Ruangan:  Karya Pembaca Sastera - Puisi
Tarikh siaran:  8.10.2016 (Sabtu)
Bilangan:  3677
Muka surat:  S3

Ahad, 27 November 2016

Merdeka!

MERDEKA!


Merdeka! Merdeka! Merdeka!
laungan bapa kemerdekaan negara
menggegar raya
betapa nusa tercinta
akhirnya bebas dari genggaman
petualang yang cuba menjajah
dan aku kini bebas ke mana jua.


Merdeka! Merdeka! Merdeka!
marilah hayatinya sebagai
sebuah negara merdeka
bersatulah dalam makna kehidupan
jika kita bermusuh
dan mengungkap kata-kata yang sia-sia
musuh dalam selimut
pasti sedang merencana,
dan musuh dari luar
pasti tidak akan berdiam diri
kerana menangguk dalam kesempatan
ada.


Merdeka! Merdeka! Merdeka!
jangan jual negara
yang kita bina berpuluh tahun lamanya
gembleng tenaga
untuk mempertahankannya,
kerana jika lalai,
pasti kita berputih mata
bangsa kita tidak lagi dapat kecapi
sebuah keamanan berharga.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu
22.8.2016


Akhbar:  Sinar Harian
Ruangan:  Karya Pembaca Sastera - Puisi
Tarikh siaran:  3.9.2016 (Sabtu)
Bilangan:  3642
Muka surat:  MH8

Sabtu, 26 November 2016

Diam

DIAM

Melihat diri diam
termanggu di danau hari
begitu resah
kerana aku tidak berbuat apa-apa
masa yang semakin berlalu
sekadar terbuang.
Melihat diri di balik cermin
yang telus
sekadar membilang
angin yang bertiup
di celah-celah daun
dan tapak-tapak kaki yang ditinggalkan
tidak lagi bersama sisanya.



Azmi Mohd. Salleh
Jalan Maju
8 April, 2012

Jumaat, 25 November 2016

Perempuan Itu

PEREMPUAN ITU
 
Perempuan itu
bibir merah dan manis
melontarkan
tutur penuh sinis
tajam bagai sembilu.
 
 
Matanya umpama ular
menyelinap setiap ruang
seketika mencari
titik lemah di dada lawan.
 
 
Hatinya bagaikan puas
musuhnya terkulai tewas.
 
 
Perempuan itu
adalah racun
muntahnya
adalah darah mendidih
nalurinya bagaikan anak-anak
tekanan jiwanya adalah pasti
untuk keluar dari rintihan.
 
 
Akhbar:  Mingguan Misteri
Ruangan:  Di Sudut Hati
Tarikh siaran:  15.3.2008
Muka surat:  23

Khamis, 24 November 2016

Angin Barat

ANGIN BARAT

Biarpun angin tengkujuh telah berlalu
membawa petaka bersamanya
dingin dan mati
sedar atau sesal manusia
apakah ada hikmah di sebaliknya
ujian getir bukan permainan
yang harus dialpakan.


Tiba-tiba angin panas yang garang
bukan pemalu menyatakan hasratnya
manusia sedar, bukan sesal tetapi jahil
anak-anak terbiar melarat
tanpa siapa-siapa
muda mudi dengan gelojohnya
melangkah ke mana saja
menurut kehendak dan desakan
tanpa mengenal suatu masa
mereka menemui pencipta-Nya
penuh kekotoran dan noda.


Angin barat menyerang
ke mana umat ini akan pergi
di kiri kanan tersesat
sesaat undur ada senjata menanti
melangkah ada musuh bersedia
meratah daging-daging enak
untuk sesuap makanan
masih ada lagikah sesalan
kalau sedar itu dilupakan.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu


Akhbar:  Mingguan Misteri
Ruangan:  Di Sudut Hati
Tarikh siaran:  1.9.2006 (Jumaat)
Bilangan:  150
Muka surat:  22

Rabu, 23 November 2016

Penyakit

PENYAKIT

Derita seksa ini
melanda moral
remaja yang hilang
harga diri
seluruh pemerhati
sering menyendiri
sekadar berkata-kata
sebagai penglipur lara
dan penyakit ini
semakin bermaharaja
insan tidak berdosa
menjadi makanannya.


Sampai bila
sengsara ini akan pergi
sembuh dari akar diri
untuk melihat
insan berperibadi.


Ngah Abadi
Kota Bharu
Mac 1995


Akhbar:  Berita Minggu
Ruangan:  Perspektif
Tarikh siaran:  30.4.1995 (Ahad)
Muka surat:  23

Selasa, 22 November 2016

Surat Terbuka Untuk Serbia

SURAT TERBUKA UNTUK SERBIA

Dunia ini bukan berkhayal
kekejaman di buminya
mata dunia bukannya buta
melihat insan dinoda
kekuasaan bukan milik sesiapa
untuk mencabul hal asasi
yang perlu dibela.


Kau bersengketa dengan dunia
kerana kau jalang
bumi ini milik keamanan
bukan peperangan bermaharaja
kehidupan untuk dihormati.


Kau patut undur dari Bosnia
mereka perlu hidup di dunia
kau pula perlu menjaga hartamu
bukan mustahil
hak kau diceroboh,
kalau kau engkar
kau pasti tumpas tanpa berkubur,
kau akan hilang dunia
dan negaramu.


Azmi Mohd. Salleh


Majalah:  Suara Masjid Negara (JAKIM)
Ruangan:  Puisi
Tarikh siaran:  26.8.1994 (Jumaat)
Bilangan:  30
Muka surat:  3

Isnin, 21 November 2016

Fikir

FIKIR

Sungguh indah alam ini
sayapnya hijau
setiap insan bertabur di bumi
sekadar menyaksi
tumbuhan melata
berbilang warna
segar menghijau
wanginya semesta
di perutmu bumi
ada zat penuh nikmat
nitrogen dan bakteria pengurai tanah
turut membantu
kerdil tetapi rajih.
 
 
Sungai dan lautan tersenyum puas
di dadamu
perahu dan kapal
sedang belayar seketika berlabuh
menuju muara
di dasarmu
terpancar kilauan khazanah
adalah rezeki melimpah
untuk insan mengerti.
 
 
Gunung dan bukit-bukau berdiri megah
bagaikan tiang alam
yang tiba-tiba
meraung dengan suara parau
memuntahkan lava dan debu
umpama dosa insan
janjinya melanggar hukum.


Habitat serangga dan haiwan
kerap berganti
mencari kurnia-Mu
dengan suara merdu
melafaz rasa syukur
sewaktu hayat.


Fikirlah
hayati kebesaran Allah
sebelum waktu berfikir
berakhir.
 

Azmi Mohd. Salleh
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)


Majalah:  Sinaran Islam (JAKIM)
Tarikh siaran:  Disember 1991
Bilangan:  6
Muka surat:  Kulit Ke-2

Ahad, 20 November 2016

Sujud

SUJUD

Seketika
menyingkap perjalanan hari
aku telah tertinggal
seruan-Mu
secangkir sujud
tumpah
di lereng takbur
nafsu mengajakku alpa
pada kebesaran-Mu
waktu hidup di daerah ini.


Ngah Abadi
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)
19.6.1991


Akhbar:  Iklan Sri Timur (Kelantan)
Ruangan:  Puisi
Tarikh siaran:  Disember 1991
Bilangan:  7
Muka surat:  18

Kematian

KEMATIAN

Selangkah menyusur hari
sedetik tertinggal waktu
ketika itu
terbentang persimpangan
menemui Illahi.


Beruntung
keberangkatan berisi bekalan
lurus perjalanan
sebelum
rugi memaksamu
kembali ke dunia
mengharap amal redha.


Ngah Abadi
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)
19.6.1991


Akhbar:  Iklan Sri Timur (Kelantan)
Ruangan:  Puisi
Tarikh siaran:  Disember 1991
Bilangan:  7
Muka surat:  18

Sabtu, 19 November 2016

Ini Tanah Merdeka

INI TANAH MERDEKA
(Sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos, 1991)

Kita yang berdiri di sini
adalah tanah merdeka
tanah warisan yang kita teroka sendiri
luas lamannya
subur dengan pohon-pohon khazanah
hasilnya sebuah kesejahteraan
pencinta kedamaian hakiki.


Buat apa berkongsi milik
penjajah anak-anak warga
menindas milik kita
mencabul daulah
telah didirikan sejak menghuni
untuk sekian lama.



Tanah merdeka
kau bakal pewaris generasi
kerap berlabuh menyaksi hari
kau pasti tergadai
andai antara mereka
sebagai petualang negara.



Wargaku
kitalah pembela tanah ini
sebelum kebuluran mencengkam diri.

Ngah Abadi
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)


Media:  Radio Malaysia (RTM), Kota Bharu, Kelantan
Ruangan:  Sudut Karya
Tarikh siaran:  25.8.1991 (Ahad)
Masa:  5.30 - 6.15 Petang
Pendeklamasi:  Mustafa Jusoh (Arwah, GEMA)

Jumaat, 18 November 2016

Hanya Jalan Ini

HANYA JALAN INI

Jejak-jejak yang kulalui
penuh ranjau berliku
pada ketika-ketikanya
aku telah tersesat
untuk berpatah pulang
menggapai harapan gemilang.


Tanpa disedari
detik telah berganti musim
memaksa diri
terus merangkak
dalam titis resah
sekadar menemui jalan lurus.


Aku bangkit dari tidur yang panjang
merenung alam tersisa
menghitung hari dan amal
hanya secebis
akur pada perintah Illahi
dunia yang seluas ini
adalah akidah yang tergadai.


Tuhan
tunjukkilah aku
jalan yang diredhai
sebelum harapan itu kembali malap
demi kerana-Mu.


Ngah Abadi
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)


Media:  Radio Malaysia (RTM), Kota Bharu, Kelantan
Ruangan:  Sudut Karya
Tarikh siaran:  4.8.1991 (Ahad)
Masa:  5.30 - 6.15 Petang
Pendeklamasi:  DJ Wan Alimin Wan Mahmood

Khamis, 17 November 2016

Diam

DIAM

Diam itu
sifat yang terbaik
sewaktu tiada ilham
diam itu amalan dituntut
sekadar menghindari pembaziran
diam itu bukan
bererti penakut
tetapi sekadar
menjaga perasaan kemanusiaan.


Azmi Mohd. Salleh
Jalan Maju


Akhbar:  Akhbar Islam Al-Fununiah (Kelantan)
Ruangan:  Puisi Islam
Tarikh siaran:  Ogos 1991
Bilangan:  16
Muka surat:  13

Rabu, 16 November 2016

Sungai Maut

SUNGAI MAUT

Aku sekujur tubuh
tertiarap
darah menitis basah
denyut nadinya terhenti.


Sungai maut
airnya mengalir rakus
warna merah di dasar
itulah jalan
di daerah ini.


Ngah Abadi
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)


Akhbar:  Berita Harian
Ruangan:  Mekar Sejambak
Tarikh siaran:  19.7.1991 (Jumaat)
Muka surat:  12

Selasa, 15 November 2016

Satu Pertanyaan

SATU PERTANYAAN

Siapa menduga
perasaan manusia zaman baharu
meski kian samar
sebagai menerima kenyataan
suatu kebenaran semakin jauh
sekadar memanggil kebatilan
memesongkan akidah.


(ii)
Mengapa
kebendaan dan harta
sering menjadi lambang
kekayaan dan tunjukdiri
sedang masih mengenepikan
fakir dan yatim
mengecap derita
telah kehausan harapan
untuk hidup di bumi bertuah.


(iii)
Mengapa
berjauh diri sewaktu bermusuhan
menghampiri sewaktu memerlukan.


Tuhan
hamba-hamba-Mu tertinggal langkah
menyusup sinar
kini tersisa
dengan gerombolan dosa dan noda
menghempas amal.


Ngah Abadi
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)


Media:  Radio Malaysia (RTM), Kota Bharu, Kelantan
Ruangan:  Sudut Karya
Tarikh siaran:  30.6.1991 (Ahad)
Masa:  5.30 - 6.15 Petang

Isnin, 14 November 2016

Kerana-Mu

KERANA-MU

Sewaktu di daerah ini
telahku nikmati
berkat-Mu
sedang menguning padi
terbentang saujana
membuang resah
di balik mimpi harap
sekian lama.


Taburkan berkat-Mu
walaupun penghuninya
semakin miskin
segala
tanpa melupakan
doa
seorang pengharap.


Ngah Abadi
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)


Akhbar:  Berita Harian
Ruangan:  Mekar Sejambak
Tarikh siaran:  21.6.1991 (Jumaat)
Muka surat:  12

Ahad, 13 November 2016

Ketika Damai Yang Masih Perlu

KETIKA DAMAI YANG MASIH PERLU

Damai
semalam aku bermimpi
perang bertabur di bumi
waktu zaman mutakhir kini
telah undur
dari medan yang sia-sia
kerana
aku telah terhidu bau hanyir darah
manusia yang luka dan terkorban
akibat peluru-peluru sesat
tanpa mempedulikan siapa mangsanya.


Damai
aku terlalu rindu sebuah kedamaian
dari kemusnahan harta, negara dan manusia
atau alam sekitar yang gemilang
dari dinoda peluru-peluru kimia
dan asap beracun.


Damai
hulurkan tanganmu
buangkan senjatamu yang canggih
di hari ini
persahabatan adalah perlu
sebelum dunia kembali bergoncang
meluap oleh kepanasan
api manusia
membakar diri.


Ngah Abadi
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)

Media:  Radio Malaysia (RTM) Kota Bharu, Kelantan
Ruangan:  Sudut Karya
Tarikh siaran:  2.6.1991 (Ahad)
Masa siaran:  5.30 - 6.15 Petang
Pendeklamasi:  DJ Mohd. Noor Jaafar

Sabtu, 12 November 2016

Suatu Bicara

SUATU BICARA

Apakah boleh kita berbicara
khusyuk mendengar suara maya
menghurai lagenda manusia
terburai jiwa terpaksa
sedang suatu hasrat telah jitu
menuju
mencari sesuap kemestian luhur
agar bertapak utuh.


Malam hitam mencakar waktu
ketawa melonjak melulu
tertiarap di telapak nafsu
tangan-tanganmu tersimpul payah
mengheret langkah lelah
buntu dan tak mampu menafsir
dalam kesamaran
sedang sayapmu patah
tersungkur menyembah
nilai-nilai diri pun musnah.


Masa kian berganti
membawa diri
di antara kita masih memburu mimpi
merenung alam tersisa
lalu payah untuk bergerak
di persada tinggi melangit
kita pun mulai bangkit dari lamunan
hari semakin malap
sedang penglihatan masih lelap.


Ngah Abadi
Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA)


Media:  Radio Malaysia (RTM), Kota Bharu, Kelantan
Ruangan: Sudut Karya
Tarikh siaran:  5.5.1991 (Ahad)
Masa:  5.30 - 6.15 Petang
Pendeklamasi: DJ Wan Alimin Wan Mahmood

Jumaat, 11 November 2016

Setiap Kehidupan Menemui Kematian

SETIAP KEHIDUPAN MENEMUI KEMATIAN

Menyaksi siput-siput merayap
di gigi pantai
bersama kehidupan
kurniaan Allah
makhluk-Nya yang kecil
seketika waktu malam menyapa
terhempas laungan ombak
terdampar
dan bumi menguburi
kematiannya.


Kehidupan
terlalu murah
kematian
terhitung juga.


Azmi Mohd. Salleh
Pantai Dasar Sabak
22.6.1990


Akhbar:  Akhbar Islam Al-Fununiah (Kelantan)
Tarikh siaran:  September 1990
Bilangan:  8
Muka surat:  13

Khamis, 10 November 2016

Hadirnya Insan

HADIRNYA INSAN

Manusia itu bukannya perkasa
ia datang dari air saringan tanah
dan habitat tumbuhan
kemudian berangkatlah ia
meninggalkan alam ini
menuju kubur yang sedia menanti
dan pasti ia
menemui syurga atau neraka
di situlah tempatnya abadi.


Azmi Mohd. Salleh
Pasir Mas


Akhbar: Akhbar Islam Al-Fununiah (Kelantan)

Rabu, 9 November 2016

Harga Manusia

HARGA MANUSIA

Manusia pun telah lahir
bersama hasrat kemajuan
bergaul setiap lapisan
rakan dan taulan
mengharap balasan
ihsan.


Ada ketikanya
kekuasaan menguasai diri
tiba-tiba seorang taulan
tergadai maruah
tertiarap dalam penjara
pedih dan luka.


Di manakah kemaafan
terucap di bibir
atau apakah harga manusia
akan jatuh
waktu esok hari?


Ngah Abadi
Paya Rambai


Akhbar:  Mingguan Famili
Tarikh siaran:  6.11.1988 (Ahad)
Bilangan:  163
Muka surat:  22

Selasa, 8 November 2016

Ruang

RUANG

Semakin terbuka ruang
sepanjang diri berlabuh
merenung wajah hari
kelak menuju ijabkabul
telah perasaan kau ketuk
mengajak kerelaan dari
tujuan amat satu
semoga kehadiran esok
amat padu.


Azmi Mohd. Salleh
Jalan Maju


Akhbar: Mingguan Famili
Tarikh siaran: 16.11.1986 (Ahad)
Bilangan: 61
Muka surat: 23

Ahad, 23 Oktober 2016

Menanti Waktu

MENANTI WAKTU

Waktu kemesraan berlalu
berubah satu-satu
telah sekuntum rindu menghadirkan diri
ketika keinginan amat jitu
begitu padu.


Sesekali
perasaan menjenguk wajah
dalam kamar itu
sesekali gelisah
menantu waktu
bertemu.


Azmi Mohd. Salleh
9.12.1985


Akhbar: Mingguan Famili
Tarikh siaran: 26.1.1986 (Ahad)
Bilangan: 19

Khabar Dari Desa I

KHABAR DARI DESA I

Suatu khabar amat resah
dari danau usang
ayah begitu kenyang
seperti selalu
sehingga bonda melutut sendu
menitis air mata
betapa dunia kian sempit untuk
terus melangkah.


Ayah dan bonda hanya
berkirim angin lalu
menjenguk desa
meminta restu
agar pelamin esok berwarna
sebelum cahaya padam.


Azmi Mohd. Salleh
9.12.1985


Akhbar: Mingguan Famili
Tarikh siaran: 5.1.1986 (Ahad)
Bilangan: 16
Muka surat 22