JENDELA PUISI: Majalah Sastera Dalam Talian . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipuisi.blogspot.com

Isnin, 28 November 2016

Azazil Itu Iblis

AZAZIL ITU IBLIS


Sidang malaikat gempar
kerana tertulis, ada di kalangan mereka
bakal dicampakkan atas kemurkaan Rabbul Jalil
mereka meminta ketuanya, Azazil
memohon doa agar Allah mengampunkan
jika ada sekelumit dosa.


Selamatlah semua malaikat
atas doa Azazil,
takburnya Azazil kerana tiada permintaan untuknya
anggap dirinya ketua malaikat paling mulia
tidak perlu apa-apa untuk dirinya sendiri,
Azazil menjadi penderhaka?


Itulah Azazil
atau nama lainnya disebut Khaazin atau Al-Harith
nama iblis penjaga syurga dan ketua langit dunia
kuasanya meluas sebagai ketua bangsa jin
di bumi.


Azazil, kaulah iblis itu
ketua antara jin dan syaitan
kau mempunyai anak-anak
Thabr, Al-Awar, Maswath, Dasim dan Zalnabur.
Kau dan keturunan makhluk itu 
punca segala sengketa antara manusia
hingga lupus segala amal
lalu dicampak ke dalam neraka
kerana menurut jejak langkah mereka.


Kau pula Jaan
adalah jin pertama dijadikan dari api
yang melahirkan keturunanmu
dari perhubungan jantina
maka lahirlah jin Islam dan jin kafir.


Syaitan
kaulah tentera iblis
membina istana di atas air
yang berperang dengan manusia
untuk mengheret manusia
yang lalai
menurut jejak langkahmu
ke lembah hina.


Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu


Akhbar:  Sinar Harian
Ruangan:  Karya Pembaca Sastera - Puisi
Tarikh siaran:  8.10.2016 (Sabtu)
Bilangan:  3677
Muka surat:  S3

Tiada ulasan:

Catat Ulasan